TuneList - Make your site Live

11 April 2011

~Kisah Air Mata~



Subuh seakan-akan  menggigit hingga  ke tulang rusukku, namun ku gagahi kakiku untuk melangkah ke surau. Surau An-Nur destinasi wajibku di setiap pagi. Aku gemar ke sana. Aku tenang di sana.
Sebelum azan subuh mula berkumandang, telingaku seakan-akan dibisik oleh suara halus yang menyeru aku untuk bangkit meninggalkan selimut tebal dan bangkit untuk mandi dan bergerak ke surau. Sampai di sana, kulihat hanya beberapa kerat sahaja pelajar yang ada. Biasanya tidak lebih dari 10 orang.
Tanpa berlengah, sejadah dihampar di suatu sudut, kaki didekatkan, lalu tangan diangkat ke telinga dan dengan penuh kehambaan aku menyeru, "Allahuakbar."  Selesai dua rakaat solat tahajjud diikuti dua rakaat solat taubat. Tangannku menyapu raut wajahku dari dahi hingga ke dagu. Hatiku berasa tenang dan nyaman. Kurasakan wajahku segar dan bercahaya. "Alhamdullilah," bisikku.
Dengan penuh kehambaan aku mengangkat tangan memohon doa dan keampunan dari Yang Maha Esa.
"Alhamdulillahirabbilalamin. Segala puji  bagi Allah tuhan sekalian alam. Ya Allah ,ya tuhanku, aku hambamu yang banyak berdosa ya Allah. Dosa-dosaku bagaikan buih-buih di lautan. Dosa-dosaku ibarat debu  yang bergelimpangan di padang pasir. Ya Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Aku bersujud padaMu. Aku memohon keampunan dariMu atas segala dosa-dosa yang telah aku lakukan. Yang nyata mahupun tersembunyi. Yang aku sedar mahupun aku tidak sedar. Aku sedar aku tidak layak ke syurgaMu Ya Allah. Namun, tidak pula aku sanggup ke nerakaMu. Ampunkah hambaMu yang hina ini, terimalah taubat ku ini. Amin Ya Rabbalalamin".
Tanpa aku sedari, air mata bercucuran jatuh ke pipiku. Usai berdoa, kurasakan hatiku sangat bersih. Sangat tenang.
Tapi itu kisah lama. Kisah zaman sekolah. Kisah zaman hingusan. Di sana aku ada kawan di Maahad. Di sana aku ada naqib. Di sana aku ada ustaz. Di sana aku ada ibu bapa! Kini aku di universiti. Di universiti  yang jauh dari tempat asalku. Dengan rezeki  Allah aku di tawarkan belajar di luar negara. Negara idaman aku. Kini aku di United Kingdom. University of Manchester.Alhamdulillah cita-cita dan doaku dimakbulkan Tuhan Yang Esa.
Aku manusia biasa. Aku bukan malaikat. Manusia itu sering lupa dan  lalai kan? Kini sudah 4 tahun aku di sini. Pengajianku biasa saja walaupun tidak cemerlang. Aku bahagia di sini. Aku ada ramai teman. Aku ada ramai sahabat. Tapi adakah aku tenang di sini? Hari-hariku bukan lagi di isi dengan bacaan Al-quran. Solatku kini bukan lagi diimamkan. Hatiku tidak lagi dijamu dengan tazkirah dan ceramah.Aku lalai di sini.
Tapi  aku bukan manusia jahat. Tidak pernah sesekali kuteguk minuman syaitan sepanjang di sini. Tidak pernah ku menjejakkan kakiku ke tempat maksiat. Tidak pernah ku menyentuh yang bukan muhrim untukku. Aku hanya manusia biasa. Aku  menunaikan sembahyang. Aku berpuasa di bulan Ramadan. Aku manusia biasa!
Pada suatu subuh,seperti biasa aku bangkit untuk solat subuh. Kali ini kurasakan angin luar tidak terlalu sejuk dan  tidak juga panas. Suasana sangat tenang dan segar. Lain dari kebiasaan subuh yang aku lalui. Setelah selesai solat subuh, aku mengangkat tangan untuk berdoa. Aku berdoa mohon keampunan. Doa yang sama aku ulang semenjak di asrama dulu lagi. Tapi kali ini aku tidak merasai kemanisan doa itu. Tidak ku rasa penghayatan doa itu. Dan paling ku takut, aku tidak menangis. Penat ku cuba untuk mengalirkan air mata di hadapan Yang Maha Besar tapi aku gagal.  Aku gagal. Aku gagal menangis!
Ini bukan kali pertama. Semenjak beberapa bulan ini doaku tidak lagi di selangi air mata. Hatiku tidak dapat merasai kenikmatan doa. Aku jadi takut. Pelbagai perkara bermain di fikiranku. "Ya Allah gelapnya hati hambaMu ini". Terus ku teringat kata-kata ustazku ketika di sekolah dulu. "hati manusia ibarat besi". Setiap dosa yang dilakukan akan melekatlah karat padanya. Tapi karat itu boleh di cuci dengan solat dan doa. Namun lama kelamaan jika karat itu tidak dibersihkan, akan semakin besarlah ia, dan semakin sukarlah untuk dibersihkan . Maka semakin hitam dan gelaplah hati kita. Ketika ini setiap dosa yang dilakukan tiada lagi dirasakan dosa bagi dirinya".
Aku tersedar. Aku tersentap.  Kenapa aku mahu jadi orang biasa? Kenapa tidak ingin menjadi yang lebih baik? Tidak berbuat dosa tidak bermakna aku sempurna. Tidak minum arak tidak bermakna aku terlepas dari melakukan dosa-dosa kecil. Sembahyang 5 waktu tidak bermakna aku sempurna.Bagaimana dengan dosa-dosa kecil? Aku lalai. Aku lalai! Terima kasih  ya Allah kerana menyedarkan aku.  Terima kasih atas hidayah-Mu.Aku terus bersujud dan memohon doa.
 " Ya ALLAH,
Bimbinglah aku ke arah agamaMu,
Dekatkah hatiku padaMu,
Berilah aku cahaya hidayah dan cahaya makrifatMu,
Berilah aku kasih sayangMu,
Dan jangan sekali-kali Kau lalaikan aku,
Sesungguhnya aku hambaMu yang lemah, "
Amin.
Semoga kita sentiasa mendapat hidayah dariNya.
Mari kita  jadikan hari ini lebih baik dari semalam , esok lebih baik dari hari ini. Hargailah setiap detik dan manfaatkan masa sebaiknya sebelum malaikat maut datang menjemput.

0 comments:

Post a Comment

Search

Powered by Blogger.